Thursday, December 8, 2011

Apa itu “Law of Attraction” (LOA)?




Law of Attraction atau Hukum Tarikan adalah satu hukum Allah yang menyatakan bahawa “kita menarik apa yang kita fokuskan”.

Mengikut sains, setiap benda terdiri dari atom yang mempunyai elektron. Semua elektron mengelilingi atom pada orbit dan frekuensi yang tertentu. Frekuensi (getaran) yang sama akan menarik perkara yang mempunyai frekuensi yang sama. Ini boleh difahami jika kita melihat bagaimana lilitan-lilitan logam dalam kipas menjadi magnet apabila tenaga elektrik dialirkan.

Apabila dikaji, hukum ini menepati hukum Allah swt, seperti yang dinyatakan oleh Hadith Qudsi berikut:

“Aku bertindak sebagaimana sangkaan Hamba-Ku. Dan Aku akan selalu bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku didalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diriku. Apabila dia mengingatiku di khalayak ramai, Aku mengingatinya di tengah khalayak yang lebih ramai lagi (para malaikat dan seluruh makhluk).

Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya (lebih dekat lagi) sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, Aku mendekatinya sedepa. Apabila dia mendekati-Ku dengan berjalan, Aku mendekatinya dengan setengah berlari”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Dalam hadith Qudsi di atas, Allah menyatakan bahawa Dia akan bertindak sama dengan sangkaan hamba-hambaNya. Jika hamba-hambaNya bersangka baik terhadapnya, maka Allah akan memberikan perkara yang baik-baik kepada hambaNya itu. Sebaliknya, jika hamba-hambaNya bersangka buruk terhadapNya, maka Allah akan menganggap ia sebagai satu doa dan mengabulkan doa-doa itu sesuai dengan permintaan hamba-hambaNya.

Bukankah ia sama dengan LOA? Perkara yang baik akan menarik perkara yang baik-baik. Begitu juga sebaliknya. Inilah antara sebab utama agama sering menekankan sikap bersangka baik atau husnuzzon, kerana LOA adalah DOA.

Pentingnya mengetahui LOA
LOA merupakan asas untuk manusia berjaya di dunia dan akhirat kerana LOA adalah DOA.

Setiap insan ingin berjaya, dan setiap kita tidak boleh menyampaikan impian yang diingini kepada Tuhan tanpa berdoa. Malah secara tidak sedar pun kita sentiasa berdoa kerana Allah bertindak sebagaimana sangkaan dan tindakan hamba-hambaNya.

Saya sangat yakin ilmu ini dapat membantu kita mengetahui rahsia kenapa sesetengah manusia begitu berjaya dalam hidupnya. Sesetengah manusia pula kelihatan begitu sukar dalam mencapai impian masing-masing.

Tahukah anda bahawa 1% daripada manusia (orang kaya) meraih 96% daripada kekayaan dunia? Kejayaan mereka bukanlah rahsia lagi. Kita juga boleh mencapainya jika rajin belajar, bersikap terbuka, gigih mengamalkan ilmu yang ada dan sentiasa berdoa kepada Allah.


Saya berdoa agar Allah ikhlaskan hati saya berkongsi sesuatu yang bakal merubah hidup tuan puan. Saya juga berdoa agar kita semua diberi hati yang bersih supaya dapat mengingat dan mengamalkan semua ilmu yang ada. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar dan Menyempurnakan Hajat.

Salam kejayaan dan kebahagiaan!

No comments: